NOVEMBER 2021

Title


MIRI, Isnin: Projek pembinaan Miri Sentral yang melibatkan pembangunan terminal bas dijangka siap menjelang Januari 2024.

Projek berongkos RM23.22 juta itu akan dilaksanakan pada Disember depan dalam tempoh 26 bulan untuk menggantikan terminal sedia ada di Pujut. 

Ini sekaligus akan mewujudkan hab rangkaian pengangkutan yang mampu memenuhi keperluan pada masa hadapan berkesan dan secocok dengan status Miri sebagai Bandaraya Pintar. 

Terminal bas baharu itu memiliki 21 platform bas, 12 premis jualan tiket bas, 15 platform teksi, 10 unit kedai runcit, tiga tempat letak kereta OKU, ruang penyimpanan kargo, ruang menunggu dan tandas.

Fasa kedua pula melibatkan pembinaan pasar raya dua tingkat, manakala fasa ketiga melibatkan pembinaan kompleks komersial tiga tingkat.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato’ Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Gerawat Gala, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri’ ‘Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu jemputan lain.

Sumber dari : Sarawakku